Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.
Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya
menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan
kanannya menumpang pada tangan kirinya.
Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia, namun sangat terkenal di antara penduduk langit. Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa'atnya. Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia
adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia... Tidak banyak
yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak
suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan
hatinya. Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang
membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan,
celaan demi celaan daripada manusia. Suatu ketika, seorang fuqoha'
negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya
dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak
diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
"Aku
khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan
pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri."
Uwais
telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali
hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya
penglihatan kabur yang masih tersisa. Bagi menampung kehidupannya
sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang
diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya
bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi
membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan.Kesibukannya
sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak
mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang
hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais
al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke
negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk
menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur.
Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais.
Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya,
kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk
mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di
Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan
Islam.
Alangkah
sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang
dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah
penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk
bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal
yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang
sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang
ketiadaannya nanti?
Diceritakan
ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya
patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke
pengetahuan Uwais. Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah.
Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah,
sekalipun ia belum pernah melihatnya. Hari berganti dan musim berlalu,
dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat
dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah
ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"
Bukankah
dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan
tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang
dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah. Akhirnya, pada
suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon
izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W
di Madinah. Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika
mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya,
Uwais dan berkata,
"Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."
Dengan
rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk
menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada
tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi. Sesudah
siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais
menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari
Yaman. Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun
gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat
menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam
hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya
paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah
Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W,
diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah
sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais. Segera sahaja Uwais
menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata baginda tidak
berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati
sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak
berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu
kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang. Bilakah beliau pulang?
Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan
sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
"Engkau harus lekas pulang."
Atas
ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara
hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W. Dia
akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina
'Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W
dan melangkah pulang dengan hati yang pilu. Sepulangnya dari medan
perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang
mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah
anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit dan sangat
terkenal di langit.
Mendengar
perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para
sahabatnya terpegun. Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada
yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana
ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan
ibunya terlalu lama.
Rasulullah
S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais
al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah
telapak tangannya. Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada
sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
"Suatu
ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan
istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."
Tahun
terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah
sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah
digantikan dengan Khalifah Umar R.A. Suatu ketika, khalifah Umar
teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni
langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk
mencarinya bersama.
Sejak
itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu
bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di
antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya
yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua. Rombongan kafilah dari
Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu
ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota
Madinah. Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera
khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan
apakah Uwais turut bersama mereka.
Rombongan
itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga
unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau
berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni. Sesampainya di khemah
tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi
salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri
solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil
bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan
tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di
telapak tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi
S.A.W.
Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
"Siapakah nama saudara?"
"Abdullah." Jawab Uwais. Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"
Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."
Dalam
pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang
saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar
Uwais berkenan mendoakan untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata
kepada khalifah,
"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."
Karena
desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua
tangannya, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar
R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada
Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus
dengan berkata,
"Hamba
mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari
selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."
Setelah
kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar
beritanya. Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh
Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama
para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan
kencang. Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air
laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat
itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di
pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya. Lelaki itu
keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa
terkejutnya kami melihat kejadian itu.
"Wahai
waliyullah, tolonglah kami!" Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami
berseru lagi, "Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah,
tolonglah kami!"
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata, "Apa yang terjadi?"
"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.
"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya. "Kami telah melakukannya."
"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim !"
Kami
pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu
jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam,
sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut. Lalu orang
itu berkata pada kami,
"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat."
"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.
"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat. Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
"Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."
"Jika
Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan
membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.
"Ya!" Jawab kami.
Orang
itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah
Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan
air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di
Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir
di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal. Beberapa waktu kemudian,
tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada
saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut
untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk
dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk
mengkafankannya.
Demikian
juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata
sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika
usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang
berebutan untuk mengusungnya. Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
"Ketika
aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada
menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut
untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada
bekas di kuburnya."
(Syeikh
Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama
Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian
Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak
terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang
tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal
Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang. Sejak dia
dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ
selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.
Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka
saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni?
Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak
memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"
"Namun,
ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan
hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka
datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."
Agaknya
mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk
mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman
mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."
Sumner : KLIK SINI