Doa mohon kefahaman agama, dikurniakan al-hikmah serta ilmu takwil (tafsir)
ALLAHUMMA FAQQIHU FIDDINI, WA ‘ALLIMHU AL-HIKMATA AT-TA’WILA QURANA
Doa yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW untuk Ibnu Abbas
Maknanya: “Ya Allah alimkanlah dia hikmah dan takwil Al quran” H.R Ibnu Majah.
Doa daripada Rasulullah SAW ini sesuai
dibacakan kepada anak yang baru lahir / kanak-kanak kerana Rasulullah
SAW pernah membaca doa ini kepada Ibnu Abbas. Doa Rasulullah SAW
dimakbulkan Allah SWT seterusnya Ibnu Abbas menjadi Ahli Tafsir yang
hebat dan terkenal.
Diriwayatkan bahawa ketika masih
kanak-kanak lagi, Ibnu Abbas memasuki rumah Rasulullah. Baginda sedang
bersama seorang yang belum dikenalinya.
Abdullah gementar melihatnya
lalu segera pulang dan melaporkan apa yang dilihatnya kepada
ayahnya. ‘Wahai anakku, engkau sebenarnya telah melihat Jibrail yang
kebetulan sedang menemui Rasul,’ jawab al-Abbas setelah
mendengarnya. Umum mengetahui Abdullah bin Abbas adalah seorang perawi
hadis sejak ubun-ubunnya masih lembik. Beliau juga dikenali sebagai ahli
tafsir (mufassir) dan hafiz (penghafal Al-Quran).
Ketika Nabi saw wafat, Abdullah baru
berusia 13 atau 15 tahun tetapi dikatakan telah baligh. Setelah wafat
Nabi saw, Abdullah muncul sebagai seorang pemuda yang berjaya mencapai
kedudukan terkemuka. Hati dan mindanya terbuka dan berkembang. Beliau
mengumpulkan beribu-ribu hadis Nabi saw, memahami Al-Quran
sedalam-dalamnya di samping memberi fatwa mengenai pelbagai hukum
agama. Beliau malah pernah menduduki jawatan qadi dalam upaya
menyelesaikan sesuatu hukum kepada orang-orang yang
bersangkutan. Abdullah tergolong dalam golongan tokoh ternama dan
penting seperti Umar Ibnul Khattab, Ali bin Abi Thalib, Abdullah bin
Mas’ud, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Umar. Semasa Khalifah Abu Bakar
As-Siddiq wafat, jawatan khalifah pindah kepada Umar Ibnul Khattab.
Ketika itu Abdullah bin Abbas telah memiliki pencapaian ilmu yang
tinggi. Ramai anggota masyarakat mendatanginya demi menimba
ilmu. Seperti Rasulullah, Khalifah Umar juga amat menyintai Abdullah bin
Abbas. Mereka saling bermusyawarah dengan para sahabat dan para bijak
pandai agama.
Khalifah Umar pernah menyatakan: ‘Ibnu
Abbas seorang pemuda yang telah matang ilmunya, berlidah amat bernilai
dan berhati bersih.’ Sebaik-baik tafsir Al-Quran, ulas Khalifah Umar,
adalah daripada Ibnu Abbas. Mengenai fatwanya, Khalifah Umar berkata:
‘Tiada fatwa yang pernah kudengar lebih baik daripada fatwa Ibnu Abbas.
‘Ibnu Abbas amat menghormati Khalifah Umar dan mengagumi kewibawaannya
memimpin negara. Setelah Khalifah Umar wafat, Ibnu Abbas menerima
layanan yang sejajar di zaman Khalifah Uthman Ibnu Affan. Khidmat
baktinya sedikit pun tidak berkurang dalam apa juga bidang sebelumnya,
termasuk berjuang di medan perang. Apabila meragui sesuatu masalah
agama, ramai sahabat biasanya berpegang kepada perkataan dan pendapat
Ibnu Abbas. Ibnu Abbas dikhatan Rasulullah. Tahap kesayangan Baginda
kepadanya tidak berbelah bagi – sama seperti yang diberikan Rasulullah
dan Khalifah Umar sebelumnya. Namun Ibnu Abbas tidak segan-segan menegur
andai terdapat sesuatu yang dipandangnya kurang tepat dalam
pemerintahan Khalifah Uthman.
Ibnu Abbas amat terharu mendengar berita
pembunuhan Khalifah Uthman. Namun, menimbang beliau mempunyai hubungan
kerabat yang rapat dengan Saidina Ali bin Abi Thalib, beliau terpaksa
memihak kepada Sayidina Ali ketika timbul sesuatu ketegangan. Ibnu Abbas
bertindak sebagai orang tengah antara suku Bani Hasyim dan suku Bani
Umaiyah yang menuntut bela atas pembunuhan Khalifah Uthman. Ibnu Abbas
seorang berkulit putih kekuning-kuningan, berbadan sasa dan tinggi.
Sikapnya sentiasa tenang dan wajahnya sering berseri. Beliau berbudi
pekerti dan berakhlak mulia dan tinggi serta tegas segala
tindakannya. Di akhir hayatnya, beliau mengidap penyakit mata sehingga
buta. Tahun Hijrah 68 merupakan tahun wafatnya bersamaan dengan wafatnya
Khalifah Abdul Malik Ibnu Marwan. Allah telah mengabulkan doanya supaya
keturunannya (Dinasti Abbasiyah) mencurahkan bakti kepada agama hingga
berjaya memimpin Dunia Islam tidak kurang daripada 600 tahun.
Sumber
Sumber